04 Oktober 2010

bebaskah wanita

“Milik siapakah gadis ini…”, seorang lelaki menyanyikan secara perlahan namun jelas kedengaran di telinga saya ditengah hiruk pikuk stesen bas Pekeliling.

Saya buat-buat tidak dengar. Bergegas ingin segera mengejar bas pulang ke rumah.

Tiada faedah untuk saya melayan.

Tiada faedah untuk saya perasan.

Istighfar.

Gangguan Atau Mengusik?

“Assalamualaikum dik…tak jawab berdosa”

“Apa khabar, boleh saya tolong…”


Saya pasti, ramai anak gadis yang bersetuju bahawa mereka seringkali diganggu. Mungkin yang mengeluarkan kata-kata sedemikian merasakan bahawa mereka sekadar mengusik. Namun, ini satu bentuk gangguan. Mengapa perlu mengusik. Apa faedahnya? Sungguh saya tidak faham.

Usikan ini membuatkan rasa diri tidak bebas. Tidak selamat sama sekali. Jika golongan feminisme yang sekular melaungkan kebebasan wanita supaya mendapat hak yang sama rata, cubalah lihat kembali, kebebasan wanita yang sebenar tidak diadili.

Wanita diusik.

Wanita diganggu.

Anak gadis dan kanak-kanak dirogol.

Wanita sebagai simbol seks.

Wanita dimanipulasi dimedia.

Aduh, banyak sekali yang perlu diperjuangkan oleh wanita sebelum meminta hak sama rata yang hanya berpandukan akal semata-mata.

Elakkan Gangguan?

Saya disini bukanlah ingin memberikan formula yang canggih. Segalanya adalah back to basic. Pertamanya ialah jangan sesekali keluar bersendirian andai dapat dielakkan. Jangan keluar diwaktu malam.

Keduanya ialah tentang cara berpakaian. Sungguh, mengapa Islam memberikan panduan menutup aurat buat kaum Hawa, bukan untuk mengekang kebebasan berfesyen dan bercantik-cantik. Namun, panduan menutup aurat inilah memberi ruang kepada wanita untuk bergerak SEBEBAS-BEBASNYA tanpa diganggu.

Pakaian yang baik mengangkat darjat wanita. Sekurang-kurangnya ada yang segan untuk mengusik dan mengganggu wanita yang menutup aurat dengan sempurna. Namun tidak saya nafikan, masih ada yang berani menganggu. Bayangkan!

“Kamu ke Mesir memakai purdah? Mesti rasa sangat bebas kan?” bicara saya bersama Hazirah semasa beliau menziarah.

“Haah, bebas sekali…” perkongsian dari seorang yang pernah melalui.

Itu jugalah yang saya rasa, walaupun purdah tidak wajib buat semua wanita, namun, KEBEBASAN ketika memakai purdah itu adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan.

Ketiga, jangan pula kita melayan andai kita diusik. Namun, jangan pula melawan. Buat tidak tahu. Buat tidak dengar. Zikir banyak-banyak agar Allah bantu semuanya elok-elok sahaja. Melayan memang bukan satu pilihan. Makin naik lemak! Melawan bimbang menaikkan amarah. Jadi diam-diam sahaja. Andai takut timbul dihati, zikir dan banyak-banyak doa dalam hati.

Keempat, andai ada yang menyindir anda kerana sombong kerana tidak melayan, berdosa kerana tidak menjawab salam. Pedulikan semua itu. Itu hanyalah alasan menyedihkan andai kita tidak faham agama. Tindakan mengusik dan menganggu wanita bukan halal itu sendiri adalah sesuatu yang haram. Aduhai.

Teringat kisah semasa saya masih di sekolah menengah. Ketika sedang makan di stesen bas, ada seorang lelaki yang memberikan nombor telefonnya. Ditulis atas tisu dan diletakkan diatas meja saya selepas cubaan untuk menarik perhatian saya tidak berjaya sebelum itu. Bayangkan, saya masih budak sekolah! Masih berbaju sekolah! Aduhai.

Tisu itu saya letakkan didalam pinggan selepas siap makan. Makcik kedai yang memerhati mengomen, amboi sombongnya.

Aduhai makcik.

Lebih Bebas Di Negara Kafir

Peluang ke negara orang ini membuka mata. Memberikan pengalaman baru. Rasa sungguh bebas bergerak. Atau sekurang-kurangnya, rasa lebih bebas berbanding di Malaysia. Di Malaysia, seringkali sahaja wanita diganggu. Secara pandangan, kata-kata mahupun dengan sentuhan. Aduhai…sungguh berani sekali!

Jika disini, kurang rasa ragu-ragu meminta tolong pada orang lelaki apabila benar-benar perlu. Mereka lebih menghormati wanita. Andai diminta tolong, akan ditolong dan hanya sekadar itu. Bukanlah berniat untuk membuat generalisation, namun, ini adalah general perasaan yang wujud.

Kebebasan Itu Pada Islam

“Apabila tidak mengikut agama, akan banyak masalah timbul. Menimbulkan rasa tidak selamat. Apabila tidak selamat, kebebasan ditarik. ” kata-kata Kak Ina pada petang itu menyentuh hati saya.

Sungguh benar. Mahukan dunia yang selamat? Mahukan dunia yang bebas?

Jawapannya sudah ada. Jawapan dari Allah yang Maha Mencipta.

Selagi suasana sekeliling kita tidak Islam, selagi itu kita tidak akan mencapai kebahagiaan dan kegembiraan sebenar.

Fitrah yang suci dalam diri kita minta dibebaskan dari jahiliyyah. Sungguh manusia itu yang menzalimi diri sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan